Total Pageviews

Monday, November 17, 2014

SELESAI SUDAH

MIHRAJ PENERBANGAN DI LANGIT 
PAMERAN SOLO ANUAR RASHID 

 ‘MIHRAJ Aku Hanya Seorang Tukang Cerita’
Nota Kurator oleh Amerrudin Ahmad

MIHRAJ Aku Hanya Seorang Tukang Cerita adalah tajuk pameran yang diberikan oleh Anuar Rashid setelah beberapa kali perbincangan untuk tajuk pameran ini. Beliau lebih cenderung untuk memberi keputusan berdasarkan gerak hati dan rasa yang lebih bersifat intuitif, malah kerja-kerja penghasilan karya baharu ini yang dimulakan dari tahun 2012 telah beliau istiharkan siap dan bersedia untuk dipamerkan pada 27 Mei 2013 bersamaan 27 Rejab 1435 Hijrah iaitu hari ulang tahun peristiwa Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad S.A.W.  Peristiwa Isra’ dan Mi’raj  ini antara lain ialah bekenaan dengan perjalanan Nabi Muhammad S.A.W dengan izin Allah dalam masa yang singkat dari Mekah ke Baitul Muqaddis dan terus naik ke Sidratul Muntaha. Sebuah perjalanan yang sangat dramatik dan fantastik dengan waktu yang sangat singkat (kurang dari semalam) secara horizontal dan vertikal yang menembusi lapisan-lapisan spiritual yang amat jauh[1].
Perjalanan Isra’ mungkin boleh digambarkan oleh akal manusia dengan lokasi fizikal dengan asas sains dan teknologi tetapi tetapi perjalanan Mi'raj sama sekali di luar kemampuan otak fikiran manusia.
Semasa perjumpaan umum dengan tetamu pameran ini, apabila diajukan soalan tertentu, Anuar Rashid bingkas menjawab dalam nada gesaan iaitu “Bacalah, Iqrak, dan Read…” gesaan ini bertujuan untuk mengarahkan perhatian pengunjung ke arah luahan penyataan pelukis dalam bentuk teks yang telah dilabelkan di sebelah karya-karya catanya di dalam galeri ini. Dengan pembacaan atau penyelidikan juga kita akan lebih memahami karya-karya terbaharu beliau dan kaitannya dengan kekaguman yang ada pada pelukis ini kepada tajuk pameran ini dan menyelami karya-karya awalnya dengan kaitan cerita dari buku Hikayat Inderaputra.

Di dalam artikel bertajuk ‘Transformasi Nilai-Nilai Filosofis Isra’ Dan Mi’raj’[2] oleh Fathurrahman al-Katitanji seorang sarjana beliau ada sedikit menyentuh tentang bagaimana orang awam memaknakan ‘buraq’ iaitu sebuah kenderaan yang dikatakan dinaiki oleh Nabi Muhammad S.A.W, maklumat mengenai Buraq ini menurut beliau tidak terdapat di dalam Al Quran tetapi diriwayatkan di dalam hadis.  

“Sebenarnya Buraq berasal dari kata barqun yang berarti kilat cahaya. Dalam sejumlah hadits, buraq digambarkan dengan wujud kuda bersayap atau menyerupai pegassus. Hal inilah yang mengilhami khazanah mistisme di dalam Islam di kemudian hari. Kalau kita menelusuri kekayaan spiritualisme Islam, kita akan menemukan semacam idiom “burung” dan “terbang” sebagai simbol yang menunjukkan mi’raj, kenaikan jiwa manusia menuju realitas yang lebih tinggi. Terutama kaum sufi, menggambarkan sayap sebagai sebuah simbol kekuatan untuk menerbangkan jiwa manusia. Simbolik burung yang terbang ini pun kita temukan misalnya dalam uraian Ibnu Sina, al Gazhali, Suhrawardi, Khaqqani, Ruzbihan, Balqi, Rumi hingga yang cukup fenomenal mengenai dunia tasawuf mistis adalah karya Fariduddin Attar yaitu Mantihiqat al-Thair.’
- Hari Nugroho (Indonesia), Buletin al-Rasikh, Jum’at, 19 Rajab 1431 H/ 2 Julai 2010. No. 509, Tahun XV/2

Tujuan merujuk artikel di atas itu bukanlah untuk mengarahkan satu sudut pandang terhadap karya pelukis, dan pelukis tidaklah menggunakan pendapat di atas dalam menghasilkan karyanya, malah tiada keterampilan mistis atau kencenderungan mempamer gaya agamawan pada sosok tubuh Anuar Rashid.  Artikel di atas hanyalah sebahagian dapatan untuk dijadikan sebgai petunjuk kecil yang sangat umum untuk merungkai  pencarian imaginatif penghayat awam bagi memerhati dan mendampingi karya-karya Anuar Rashid terutama yang mempunyai kaitan visual dengan imej dan simbol yang diulaskan seperti karya-karya dari tahun 2008 hingga 2013 beliau seperti siri Pegasus, ‘Mih(raj)- Home Sweet Home North Star Constellation of Galaxies’, ‘Selamat Tinggal Kapal Angkasa’, ‘Ketibaan Ketiga’, “Star Gate’  dan ‘Assalamulaikum Ya Bani Adam’ dari kumpulan karya Beginning of The End.

‘MIHRAJ’ untuk tajuk pameran ini juga pada Anuar Rashid adalah satu pennyataan melaui karya visualnya tentang perkara atau cerita yang berada di antara nampak nyata atau ilusi. Nyata pada beliau dan orang yang mempercayai  dan mungkin ilusi untuk orang lain pula. Anuar Rashid juga mengaitkan perkataan ‘MIHRAJ’ untuk pameran ini dengan asal perkataan yang diambil dari bahasa Perancis iaitu mirage ( illusion d’optique."Dans le désert, on a parfois des mirages : on croit apercevoir de l’eau alors qu’il n’y en a pas .")  yang diadaptasi ke bahasa Inggeris iaitu mirage (an optical illusion caused by atmospheric conditions, especially the appearance of a sheet of water in a desert or on a hot road caused by the refraction of light from the sky by heated air).

 ‘MIHRAJ Aku Hanya Seorang Tukang Cerita’ adalah sebuah pameran yang terkandung naratif besar cerita dalam perjalanan hidup beliau. Naratif dalam persembahan pameran ini adalah penekanan pelukis terhadap realiti dimensi selari yang dilalui beliau dalam memahami realiti sejarah, kepercayaan umum dan mitos yang saling bertindih dan terjalin dalam kombinasi sangkaan yang seperti sentiasa boleh di olah-olah mengikut perjalanan hidup dan makna dalam kehidupan kontemporari. Fasa-fasa hidup sebagai insan istimewa, disayangi, ditinggalkan, berlapar, popular di dalam negeri hinggakan pengalaman merasai sendiri kesan pengaruh USSR dan robohnya Tembok Berlin hanya menjadi sebahagian kecil dari pandangan pelukis terhadap erti dunia dan material. 
Anuar Rashid sedang diwawancara di studio beliau di Bukit Tinggi Kepala Batas Kedah, 2014. Foto oleh Mohd Khazrol Ibrahim

Seperti karya-karya visualnya yang tergabung  idea literal dan imaginatif, pelukis secara nyatanya adalah seorang yang sentiasa mempunyai argumentasi terhadap penerimaan visual, tekstual dan lisan arus perdana. Baginya banyak perkara yang terselindung atau dikaburkan mengikut kepentingan tertentu atau sebab-sebab tertentu. Justeru, dalam pameran ini Anuar Rashid memberi penekanan ‘cerita’ dalam tiga jenis maklumat iaitu karya senilukis catan, penyataan dan luahan dalam bentuk teks, juga ilham dan salinan dari teks ayat-ayat Al Quran di atas catannya dan sebuah persembahan lisan dengan dua sesi syarahan ‘cerita’ bersama tetamu di dalam galeri pameran, dan sudah tentunya sesi ‘cerita’ ini akan beliau sambung tanpa berat hati setiap kali kita bertemu dan memulakan bicara dengan beliau.

Cadangan awal pameran. Rekaan ruang pameran oleh Noor Dila Omar dan Mohd Fairus Ismail

Ini adalah sebuah pameran yang mengumpul dan mempamerkan sebahagian besar karya-karya Anuar Rashid sepanjang 48 tahun penglibatanya dalam dunia senilukis. Bermula dari penghasilan lukisan cat minyak semasa tingkatan lima di Kolej Sultan Abdul Hamid di tahun 1974, walaupun beliau sudahpun melukis dengan cat air lebih awal daripada itu, namun karya-karya cat air tersebut tidak lagi kekal dan tidak dapat dapat dikesan lagi.
Pameran ini dibahagikan kepada dua sub tema iaitu ‘Berakhirnya Satu Permulaan’ yang dimuatkan dalam galeri 2B dan ‘Bermulanya Satu Pengakhiran’ mengandungi karya-karya bersaiz besar di galeri 2A.
‘Berakhirnya Satu Permulaan’ mengumpulkan karya-karya awal permulaan naratif MIHRAJ ini dari siri-siri Wind, Water and Fire dan Flight to Paradise. Kumpulan ini juga mempamerkan karya-karya awal beliau dari tahun 1970an,1980an,dan petengahan 2000. ‘Berakhirnya Satu Permulaan’ adalah perjalanan awal kehidupan beliau dari kelahiran, pengalaman membesar dan dewasa ke satu titik  lonjakan penerokaan dan pencapaian dalam hidup.
Madrasah Ahmadiah milik Hj Dahlan bapa saudara pelukis, tempat kunjungan kegemaran sewaktu kecil. Madrasah ni berhampiran dengan rumah kelahiran beliau di daerah Langgar




Bengkel motor jiran beliau semasa membesar di kampung ibunya berhampiran Sg Korok Alor Setar


Pokok Kemboja di perkuburan Kampung Akar Peluru

‘Bermulanya Satu Pengakhiran’ adalah kumpulan karya-karya baharu yang menilai kembali pengalaman peribadi, bersifat memeriksa pandangan yang berlapis-lapis dari mimpi, objek dan persekitaran sekeliling, bunyi dan sifat bahasa, tanggapan semasa kecil, stereotype tempatan, trajedi adalam hidup dan karismatik hubungan yang terjalin dengan orang-orang penting dalam hidupnya termasuklah juga hubungan dan ehsan tumbuhan dan haiwan-haiwan lain.
Karya-karya terbaharu  ‘pengakhiran’ ini merupakan fasa ‘pertemuan’ terhadap perkara yang sukar dihujahkan kecuali kata Anuar Rashid ia hanya dapat disimpulkan melalui ‘Iqrak’, ‘Bacalah’ dan ‘Read’. Karya-karya terbaharu fasa ini yang dihasilkan dari tahun 2008 hingga tahun 2014 merupakan satu pemahaman semula pelukis terhadap sains dan sains yang diakhiri dengan ketuhanan.
Pameran ini juga ingin merungkaikan jarak ketidakhadiran Anuar Rashid dari benak umum (1987 hingga 2006) adalah waktu dan proses pencariannya  untuk menterjemahkan semula hasil perjalanan dan dapatan yang sebelum itu. Bagi Anuar Rashid ia mengambil masa yang begitu panjang untuk sampai ke ‘Flight to Paradise’(20 tahun) dan seterusnya ke ‘MIHRAJ’(7 tahun)



[1] “Sesungguhnya Dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar.” (Quran, Surah al-Najm [53]: 18)
Melalui ayat ini, Abu Majdi Haraki menjelaskan sebagaimana yang ia kutip dari Imam Qusyairi mengatakan, “Allah memperlihatkan kepada Muhammad ayat-ayat-Nya, lalu sifat-sifat-Nya. Kemudian dia Dia menyingkap akan hakikat Dzat-Nya.” Lebih lanjut Imam Qusyairi, “Di antara ayat-ayat Allah yang diperlihatkan kepada Muhammad s.a.w. pada malam tersebut adalah bahwa hakikat Dzat-Nya tidak menyerupai segala sesuatu pun, baik yang terkait dengan dimensi kekuasaan dan kesempurnaan, atau kemulian  dan kebesaran-Nya, berikut puja dan puji-Nya, serta keagungan Dzat-Nya. Pada malam itu, Allah ‘Azza wa Jalla juga menunjukkan kepada Muhammad akan hakikat diri-Nya, bahwa diri-Nya tidak sama dengan para hamba dan makhluk-Nya yang lain, baik dari segi kenabian, risalah, kemulian, ketinggian maqam, kebesaran diri, maupun kedudukannya di mata Allah. - http://alislamiyah.uii.ac.id/2013/02/05/transformasi-nilai-nilai-filosofis-isra-dan-miraj-dalam-kehidupan/

[2] http://alislamiyah.uii.ac.id/2013/02/05/transformasi-nilai-nilai-filosofis-isra-dan-miraj-dalam-kehidupan/




Dua orang sahabat Anuar sewaktu kecil yang banyak menceritakan kisah zaman kanak-kanak beliau di Alor Setar

1 comment:

Unknown said...

Teringin sangat nak jumpa beliau, tapi jauh sangat di Kedah.