Total Pageviews

Monday, August 25, 2008

Curate


*Petikan dari teks kuratorial Pameran 'Antaramerdeka' tahun 2007 di Balai Seni Lukis Negara. Koleksi imej catan dalam teks ini adalah daripada Himpunan Tetap Balai Seni Lukis Negara


MEMVISUALKAN MERDEKA?
Percubaan untuk memetakan aliran penghayatan pameran ini dari arena seni tampak dan hubungannya dengan budaya dan perjuangan masyarakat tidak semestinya menggambarkan kemerdekaan itu seperti seorang pejuang atau individu yang lahir sebelum 1957. Membebaskan visual-visual dari bingkai yang digantung didinding memerlukan kesungguhan melihat dan kaitannya dengan beberapa isu yang menjelaskan perjuangan dan pengalaman kemerdekaan itu sendiri.

Sebagai sebuah pameran yang bertemakan kemerdekaan negara, koleksi yang dipamerkan bukanlah untuk menggambarkan dengan sepenuhnya secara literal visual perjuangan mencapai kemerdekaan di zaman moden mahupun keadaan Pra dan Pasca Melaka. Ianya tidak boleh dibandingkan pun sejarah jerih payah pejuang bangsa melawan kolonial dan imperialis Asia dan Eropah pada masa lalu. Namun apa yang cuba dititik beratkan di sini ialah cara melihat erti kemerdekaan itu dalam bentuk membaca gambar hasil aspirasi pelukis dan komposisi gantungan pameran secara linear, komplimen atau kontradik.

Antara lain objektif menghimpun, memelihara dan mempamer karya-karya seni visual di sebuah muzium seni seperti Balai Seni Lukis Negara adalah bukan sekadar untuk memerhati dan mendokumentasikan setiap perkembangan artis dan perubahan pemandangan seni visual sahaja. Malahan kami melihat pelbagai peluang dan potensi yang boleh dikaji dan di analisa dalam budaya visual. Dengan mengumpul bukti-bukti budaya visual ini yang terdiri dari catan, foto, instalasi video hingga ornamental seni rakyat.
Dahlan Sulaiman ,'Angkut Selut', Cat enamel atas kayu, c 1980an. Dahlan Sulaiman merupakan pelukis seni rakyat dari Kuala Terengganu beliau terkenal kerana menghasilkan lukisan-lukisan aktiviti masyarakat di Terengganu sekitar tahun 1950an dan lukisan ini menghiasi kotak-kotak beca di Kedai Payang. Sekarang ini hiasan ini telah tiada lagi dan digantikan dengan poster-poster iklan syarikat telekomunikasi, kedai emas dan pasaraya besar.

Perletakan dan posisi karya di dinding bahagian tertentu dalam pameran ini sengaja di ubah dari kebiasaan ukuran standard paras mata (eye level) 162/164 cm iaitu paras mata standard bagi orang dewasa berdiri. Kali ini kami cuba merasionalkan paras kedudukan karya dengan isu, ukuran, gaya dan persembahan yang dibawa oleh karya itu sendiri melalui pelukisnya. Sebagai contoh The Good Old Days, 2006, cat minyak atas kanvas oleh Ch’ng Huck Teng pelukis dari Pulau Pinang yang melukis sebuah permandangan yang indah, hari cerah dengan tasik terhampar jauh ke kaki banjaran gunung yang berbalam kebiruannya, langit cerah dengan tona cair ke pekat tinggi angkasa, hutan bukit yang hijau bersih di selang seli dengan pohon tualang tinggi melagit dan bergembung-gembung kepul pucuk pokok kapor, di latar depan ada padang rumput dengan seekor kerbau sedang berdiri berhampiran tasik dengan ekornya sedang mengibas langau yang mengacau. Jika sesiapa yang membesar dikampung sudah tentu dapat membayang dan terhidu suasana indah ini. Karya ini cuba menggambarkan suasana indah masa lalu di luar kota, kenangannya merujuk kepada zaman kanak-kanak pelukis, justeru penyampaiannya bersifat ringkas gaya naïve dengan ukuran yangkecil. Paling dekat sasarannya adalah pengunjung kanak-kanak dari masyarakat urban dan kontemporari yang tiada pengalaman sedemikian. Sebagai pengantara adalah lebih adil kami melayan karya ini pada haknya. Maka gantungannya direndahkan kepada paras mata kanak-kanak, bagi pengunjung dewasa sebuah bangku panjang jati betawi disediakan untuk memaraskan penghayatan. Malah paras gantungan sebegini juga mengambil kira peminat dan penghayat OKU yang berkerusi roda.
Gantungan The Good Old Days pada paras mata kanak-kanak dan pengunjung berkerusi roda.

Tidak hairan jika sesetengah dari kita merasa terkejut apabila melihat Balai Seni Lukis Negara mengumpul koleksi lukisan kotak beca Terangganu atau koleksi lukisan dan lakaran abad ke 19 oleh Frank Swettenham, George Giles dan William Samwell. Dalam kontek melihat dan mengkaji budaya tampak ini menurut Nicholas Mirzoef ahli antropologi budaya dalam artikelnya yang berjudul What Is Visual Culture? Menekankan betapa pentingnya pengkaji dan pengkritik mengambil kira proses penghasilan karya, yakni sebuah komponen formal untuk melahirkan gambaran dan pelengkap penting karya itu bagi penerimaan budayanya.











Antara Merdeka
Pameran ini lahir dari program pameran tahunan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan. Kali ini sambutan ke 50 tahun negara ini Merdeka. Setiap tahun dalam bulan ini galeri perlu di isi dengan karya dan tema perjuangan, nasionalisme dan merdeka. 3009 buah karya dalam Koleksi Himpunan Tetap BSLN atau Koleksi Negara yang dikumpulkan mulai tahun 1958 hingga 2006 bukanlah sebuah jumlah yang besar jika dibandingkan dengan koleksi tetap muzium seni antarabangsa yang lain. Justeru untuk melengkapkan satu atau dua buah galeri pameran dengan karya-karya yang bertema sama setiap tahun bunyinya seakan mudah dengan skala koleksi yang belum mencecah puluhan ribu ini.

Cabaran kepada kumpulan kuratorial ialah untuk membezakan pameran ini dengan pameran-pameran sempena kemerdekaan tahun-tahun sebelumnya. Pameran ini pernah dikuratorkan oleh kurator jemputan seperti Redza Piyadasa, Dr. Najib Dawa, Henry Bong, Dr Osman Yatim dan kurator-kurator dalaman Balai Seni Lukis Negara seperti Wairah Marzuki, Zanita Anuar dan lain-lain lagi.

Gantungan kali ini menampilkan pilihan terbaik karya-karya yang penuh kritikan dari dekad lalu, koleksi bersejarah dan karya kontemporari terkini yang cuba kami hidangkan secara perbandingan dan persembahan berbeza. Ada di antara koleksi akan kelihatan ganjil atau janggal dikalangan peminat dan pengumpul seni kontemporari disebabkan penerimaan umum terhadap pengklasifikasiannya yang mungkin telah dirumuskan lebih awal oleh kurator, artis, pengumpul dan khalayak seni Malaysia masa kini. Sebagai sebuah pameran yang mempamerkan himpunan tetap atau koleksi negara, ianya terbuka kepada pendapat umum samada untuk menerima ia sebagai satu cadangan untuk melihat atau sebaliknya. Hasil dari pengumpulan dan pencarian makna ini, pameran ini cuba untuk tidak hanya menampilkan karya-karya yang sudah dijangkakan, tetapi turut menggabungkan karya-karya yang pada pandangan kami penting dan sarat dengan maklumat pengkajian budaya visual, malah jika digandingkan dengan sebuah mahakarya seni moden akan mengundang konotasi dan pembacaan yang berbeza.
Makluman panduan kuratorial ini bertujuan untuk memberikan pilihan kepada pengunjung untuk menikmati pameran ini secara apa ianya di reka dan susun, pengunjung akan dapat melihat kaitan, makna dan mencernakan kepentingan maklumat dalam setiap karya secara individu atau secara kumpulan gandingan dari genre-genre romantika sawah padi, idealisme modenis hingga ke dokumentasi kontemporari dengan isu-isu dunia tanpa sempadan yang berdialog antara satu sama lain yang lama dan yang baru yang elit dan yang rakyat, semasa penjajahan, pasca kolonial hingga masyarakat sivil dan kewujudan tradisi majmuk.

PENANTIAN
Usia kemederkaan Negara kita masuk kali yang ke 50, setahun lebih dari usia penubuhan Balai Seni Lukis Negara. Hampir 49 tahun mengumpul kemudianya dipulihara, dipamer dan dikaji koleksinya. Isi Himpunan Tetap ini ada yang seusia dengan kemerdekaan Negara kita dan ada isunya lebih tua dari itu. Isu adalah jambatan yang menghubungkan zaman. Kadang-kadang sesuatu isu dirancang saat yang paling masak dibawa kepada khalayak. Masa dan ketika yang siknifikan dinanti kerana ianya relevan dengan isu tersebut. Kami dapati amat menarik sekali jika dikaji hubungan isu, keadaan dan peristiwa kontemporari semasa pengahasilan sesuatu karya atau melahirkan pelukis untuk mewakili masyarakatnya dalam pengucapan tampak dan sejauh mana pelukis terkesan dengan isu dan peristiwa yang berlaku disekitarnya.
Sebagai contoh, semasa anak watan tanah jajahan Belanda di tahun akhir tahun 30 an dahulu membentuk kesatuan dan mengorak langkah menentang penjajah Belanda laungannya sampai di Tanah Melayu dengan penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) oleh pemuda-pemuda lepasan Sultan Idris Training College, Kuala Lumpur Technical School dan Serdang Agricultural College. Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Onan Haji Siraj, Abdul Karim Rashid dan Sultan Djenain termasuk Dr. Burhanuddin al-Helmy adalah para pengasas pertubuhan ini semasa umur mereka dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun.
Pada tahun 1945 semasa penjajahan Jepun kebanyakkan ahli KMM telah menyertai Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KERIS) yang diketuai oleh Dr. Burhanuddin al- Helmy dan pada 12 haribulan Julai tahun itu Dr. Burhanuddin bersama Ibrahim Yaacob telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin nasionalis Indonesia iaitu Ahmad Sukarno dan Muhammad Hatta di Taiping, Perak untuk membincangkan gagasan penyatuan Melayu-Raya yang menggabungkan Semenanjung Tanah Melayu dengan kepulauan Indonesia. Namun gagasan ini telah gagal dan telah menjadi sejarah betapa persempadanan bangsa dan politik itu sesuatu yang berbeza.
Apa yang menarikknya dengan peristiwa ini ialah kaitan Persatuan Ahli-Ahli Gambar Indonesia (PERSAGI) yang ditubuhkan pada tahun 1937 dan kaitan ahlinya dengan Lembaga Kebudajaan Rakyat (LEKRA) ditubuhkan pada 1950 yang akrab dengan Sukarno. Ahli-ahli PERSAGI dan LEKRA termasuklah nama-nama besar pelukis moden Indonesia antaranya pelukis revulosioner Sindudarsono Sudjojono dan Hendra Gunawan.
Dikhabarkan Sukarno amat akrab dengan pelukis-pelukis ini yang secara berani menyahut cabaran revolusi dengan karya-karya dan poster propaganda yang mengajak rakyat Indonesia menyokong Sukarno memperjuangkan kemerdekaan Indonesia.
Persoalannya, jika begitu semasa kunjungan Sukarno ke Taiping, Perak berjumpa dengan pemimpim KMM yang ahlinya ada dari bekas palajar SITC yang salah satu dari kursus yang diajar kepada bakal gurunya adalah kraf dan seni, tidakkah ada pemerhatian, kesedaran atau makluman tentang peranan karya dan visual oleh pelukis-pelukis Indonesia dalam membantu perjuangan kemerdekaan ini kapada mana-mana ahli KMM yang ada kecenderungan dalam seni. Juga, semasa lawatan ahli-ahli KMM ke Indonesia, pernahkan mereka diperkenalkan oleh pemimpin pejuang di sana kepada penyokong kuat yang terdiri dari pelukis atau ahli PERSAGI ini.

Jika jawapanya ya! Adakah pengaruh (atau trend seiring yang universal bukan pengaruh) ini ada dalam KMM dari kalangan guru-guru seni SITC. Jika ada siapakah mereka dan dimanakan karya dan visual-visual itu. Pencarian seterusnya terpulanglah kepada kesungguhan dan iltizam para penyelidik generasi baru untuk menguraikan semua persoalan ini.

Dalam pameran ini di suatu sudut yang bersebelahan dengan seksyen kecil gantungan karya-karya yang mengumpulkan karya-karya yang berkait rapat dengan hal-hal persuratan dan permeteraian, kami gantungkan karya Gadis Korea oleh Hoessein Enas, dari bahan cat minyak atas kanvas yang dihasilkan pada tahun 1963 di London. Hoessein Enas pada kebiasaan penghasilan karyanya melukis di hadapan model subjeknya atau melalui gambar-gambar foto yang telah dirakam terdahulu oleh para pembantunya. Ismail Abdul Kadir seorang pelukis dari Kota Bharu Kelantan pernah memaklumkan kepada penulis yang beliau pernah membantu mendapatkan gambar-gambar model disekitar Kelantan dengan kameranya kerana diupah oleh Hoessein Enas dan sebilangan salinan foto-foto itu masih dalam simpanan beliau.
Berbalik kepada karya Gadis Korea ini, yang menggambarkan seorang gadis yang bermata besar berambut ikal pendek, duduk di atas kerusi dan memakai pakaian tradisional Korea. Ada pendapat mengatakan model berpakaian Korea tersebut bukanlah gadis Korea sebenar tetapi model Melayu yang dipakaikan pakaian Korea. Siapakah gadis Melayu ini? Mungkin salah seorang yang rapat dengan pelukis namun penyelidikan teliti perlu di buat jika ingin mencari jawapan ini. Isu dan dan situasi yang diperkatakan pada awal tadi ada kaitan dengan karya ini apabila selepas 50 tahun, tiba-tiba muncul dalam berita dari Korean Broadcasting System, Korea Selatan tentang penantian Mariam Johari seorang wanita Melayu yang berusia 86 berasal dari Plentong, Johor yang ingin bertemu dengan anak-anaknya yang telah sekian lama terpisah akibat Perang Dunia Ke 2. Beliau muncul di kaca televisyen dan dada akhbar dengan pakaian tradisional Korea, beliau bertutur, berkahwin dan mengamalkan budaya Korea. Selama 64 tahun beliau pasrah dan kental meneruskan hidup dalam Negara dan budaya yang berbeza disebabkan tekanan dan kekeliruan yang terjadi akibat Peperangan Dunia. Peperangan tamat di Malaya tetapi tidak pada wanita ini yang berperang dengan hati dan perasaan terhadap anak dan kampung halaman yang ditinggalkan.
Hoessein Enas, Gadis Korea, 1963, cat minyak atas kanvas.

‘Gadis Korea’ 1963 oleh Hoesein seolah-olah menanti saat dan masa yang sesuai untuk diangkat kepada khalayaknya. Kita maklum kesan perang kepada masyarakat, adakah pada tahun 1963 itu isu ‘Gadis Korea’ diperbincangkan oleh umum dan beberapa ramai lagi ‘Gadis Korea’ di luar sana yang telah berputus asa atau tidak ingin lagi mengimbau kisah pahit masa lalu.





PEMANDANGAN MALAYSIA TERBESAR

Kedatangan pelawat akan disambut dengan dinding merah dibahagian dalam ruang pameran ini. Gantungan karya The Great Malaysia Landscape 1972 oleh Redza Piyadasa (b.1939-2007) berada ditengah-tengah. Dinding merah ini seolah gaya Victoria yang dihiasi dengan lukisan-lukisan Eropah sambil menjamu teh Inggeris. Tidak, sebenarnya warna dinding ini ialah merah air sirih dan kami tidak menggantung koleksi lukisan Constable atau Turner di sini tetapi karya-karya permandangan pelukis-pelukis bukan akademia dari Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Analogi untuk melihat keseluruhan pameran mempunyai kaitan dengan aliran karya yang dihasilkan pada tahun 1974 ini. Karya ini telah memenangi Hadiah Utama semasa Pertandingan Malaysian Landscape 1972 di Balai Seni Lukis Negara. Konsepsualisms adalah salah satu cara dan gambaran terbaik untuk melihat Piyadasa. Seni Idea adalah nama lain bagi genre ini, ia menidakkan seni sebagai material dan mengurangkannya kepada peringkat proses iaitu peringkat idea pelukis. Ianya sangat literal dan objektif seolah Minimalisme namun tersimpan dokumentasi, cadangan dan fakta / keterangan untuk objek. Dengan menawarkan pilihan kepada objek seni – idea yang menekankan yang sebuah karya itu adalah informasi. Bentuk karya sebegini amat berpengaruh sekali semasa era gerakan pasca-Minimalis. Ia memperkenalkan bahasa dan menginterpretasikan bentuk sebagi maklumat. Piyadasa ada menyatakan penggunaan teks yang distencilkan itu adalah untuk memprovokasi ‘superficial comparisons with the works of Larry Rivers and Arakawa’. Perbandingan ini ialah mengenai penggunaan teks dalam penyampaian dan cara yang berbeza dua artis tersebut.

Dipadankan dengan karya pengkritik hebat ini ialah objek kritikannya sendiri. Lukisan permandangan sawah padi dan perkampungan nelayan yang romantis oleh pelukis-pelukis regional pada ketika itu (awal 1960an). Pelukis Kedah di dinding kiri manakala Kelantan dan Terangganu di dinding kanan (karya Khalil Ibrahim sebelum beliau ke St. Martin). Permandangan indah ini ialah karya-karya A.B Ibrahim adik beradik dan A.J Rahman pelukis era selepas Perang Dunia Ke II, M. Zain pelukis permandangan dari Besut dan Dahlan Sulaiman pelukis kotak beca yang tidak dikenali di Kuala Lumpur tetapi popular di kalangan pengayuh beca dan khalayak Kedai Payang Terengganu.

Dalam sejarah Kemerdekaan Negara, kita sudah mengetahui tentang Strategi Pecah dan perintah penjajah Inggeris untuk menguasai Tanah Melayu. Bagaimana pemerintahan Inggeris dibahagikan mengikut kepentingan hasil bumi dan pelabuhan komersial maka terhasil Negeri-Negeri Selat, Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Negeri-negeri utara Tanah Melayu telah di bahagi-bahagikan selepas Perjanjian Inggeris – Siam 1909 yang dikenali juga sebagai Perjanjian Bangkok 1909 atau Perjanjian Anglo Siam 1909. Perjanjian ini diadakan di Istana Raja Thailand di Bangkok yang diusahakan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu Sir John Anderson. Perjanjian ini merupakan perjanjian yang ke-8 dalam usaha Bristish menguasai utara Tanah Melayu yang terdiri dari Kedah, Perlis, Kelantan dan Trengganu.

Perjanjian inilah yang membahagikan negeri Melayu utara kepada British Malaya dan negeri Melayu yang jarang disebut iaitu ‘Siam Malaya’ (Setul, Patani, Yala, Narathiwat).

Kebetulan pula pelukis-pelukis ini dan karya mereka adalah gambaran permandangan petani dan nelayan dari negeri Melayu Utara (dan pantai timur). Terkebelakang, mundur ide dan penyampaiannya. Ini mungkin terdetik dalam persepsi sesetengah peminat seni moden dan ahli akademik. Namun bagi gantungan ini, kami ingin tekankan yang penghasilannya sama penting dengan karya hebat yang dipadankan disampingnya. Samada dinilai dari sudut kepentingan warisan mahupun kajian budaya benda.

KELIBAT GUNUNG JERAI
Gunung dan Gunungan dalam dunia Melayu adalah pohon hayat yang dapat dikaitkan dengan sebuah kosmologi kehidupan. Gunung juga disebut sebagai paksi bumi kerana pentingnya ia kepada keseluruhan ekosistem alam dan kehidupan.
Seperti Gunung Meru yang mistik dan sakral di tengah-tengah angkasa kosmologi Hindu dan Buddha, dengan syurga Tavatimsa, di atas Indra dan tiga puluh tiga dewa dipuncaknya. Representasi gunung ini lazim dikaitkan dengan bangunan bertingkat beberapa kepercayaan dan keagamaan dI dunia. Peri pentingnya gunung dan naungannya ini hadir dalam pembentukan sosial dan kebudayaan di Asia Tenggara dan Selatan seperti Gunung Fuji, Abu, Meru, Popa, Potakala, Agung, Bromo termasuklah Jerai, Ledang, Kinabalu, Santubung dan sebagainya.

Terperinci dari karya berjudul Menanam Padi di kaki Gunung Jerai, A. B Ibrahim. Gambar sebelah kanan juga dari pelukis yang sama, kelihatan pengulangan kelibat Gunung Jerai yang gagah di bahagian latar belakang permandangan ini.

A.B Ibrahim berkarya dan mempengaruhi pelukis-pelukis sezamannya terutama cara melukis dan melihat sebuah lukisan. Karya sebegini menarik minat dan mendapat permintaan yang tinggi dari para peminat lukisan pemandangan dalam dan luar negara di tahun-tahun aktif pelukis ini sekitar tahun 50an hingga 70an. Jika dibuat pengkajian perbandingan, amat menarik sekali jika kita kaitkan dengan karya-karya cetakan kayu Ukiyo-e pelukis-pelukis Jepun abad ke 19 iaitu Katsushika Hokusai dan Utagawa Hiroshige. Kaitan yang dimaksudkan di sini ialah melalui pengamatan kami pada kebanyakan karya-karya A.B Ibrahim, A.B Kechik, A.B Hassan dan A.J Rahman akan menemukan kita satu landmark yang dirakamkan dari pelbagai sudut iaitu Gunung Jerai yang penuh bersejarah. Hokusai dan Hiroshige terkenal dengan 36 Views of Mount Fuji yang diterbitkan di antara tahun 1832 dan 1859. Beribu-ribu edisi karya Gunung Jerai dan Mount Fuji telah dihasilkan, Gunung Fuiji dicetak manakala Gunung Jerai dilukis. Terdapat satu lagi perbandingan menarik karya A.B Ibrahim dari siri lukisan malamnya, A.J Rahman dengan Night in Langkawi dengan dark printing Hokusai dari siri Sixty-nine Stations of the Kisokaidō, bagaimana mereka dengan beraninya meneroka keindahan waku malam jika dari segi teknikalnya rakaman cahaya yang kurang akan menjadikan lukisan kelam dan tidak menarik telah diselesaikan dengan jayanya oleh pelukis-pelukis ini.
Utamaro Hokusai Sixty-nine Stations of the Kisokaidō 1834-1842. A.B Ibrahim, Rakit Berlabuh di Waktu Malam, 1970, Cat air.

Nilai merupakan satu entiti yang berada di luar lingkung masyarakat dan visual. Dalam usaha memahami visual dan gantungan karya dalam pameran ini, nilai perlu ditindan dalam lingkung masyarakat dan seni visual. Nilai adalah jambatan untuk menarik masyarakat supaya memahami dan saling mengenali visual. Seperti mana kita menilai karya sebarisan pelukis seni moden negara, kita seharusnya juga meletakkan nilai yang sama dalam konteks tersendiri karya-karya pelukis rakyat yang berkarya di daerahnya. Realiti seni lukis Malaysia bukan sahaja berkisar dalam seni lukis moden akademia namun perhatian serius patut diberi kepada membaca masyarakat melalui budaya visual.

Amerrudin Ahmad
Kurator, Balai Seni Lukis Negara

Rujukan Bacaan:
i. Frank Swettenham & George Giles Water Color Sketches of Malaya 1880-1884, Lim Chong Keat & Henry Barlow, the Malayan Bristish Society.
ii. Katalog Pameran Lukisan A.B Ibrahim, cetakan pertama 1992, Ismail Haji Salleh, Lembaga Muzium Negeri Kedah.
iii. The Other Malaysia the Writing on Malaysia’s Subaltern History, Farish A Noor, 2002, Silverfishbooks, Kuala Lumpur.
iv. The Visual Culture Reader, Edited by Nicholas Mirzoeff, 1998, Routledge Taylor & Francis Group, London & New York.
v. Dictionary of South & Southeast Asian Art, 2004, Silkworm Books.
vi. Artikel Ulasan ‘Mitos Peribumi Malas’, Syed Naquib Al Attas oleh Prof. Dr. Shamsul Amri Baharuddin.
vii. The British Presence in the Malay World: A Meeting of Civilizational Traditions, CAROLINA LÓPEZ C. (Diakses pada 28 Ogos 2007).

No comments: